comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Kedah berkenan lawat mangsa banjir di PPS

Foto: NSTP

ALOR SETAR: Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini hari ini.

Baginda meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dan menyantuni penduduk yang terjejas akibat banjir.

Terdahulu, baginda berkenan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali dan beberapa ketua agensi serta jabatan berkaitan.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM300 kepada setiap ketua isi rumah menerusi Tabung Amanah Sultan Kedah.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS Stadium Suka Menanti yang dibuka sejak 19 September itu masih menempatkan seramai 588 mangsa daripada 170 keluarga setakat hari ini.

Sementara itu, Norizan berkata baginda turut menitipkan pesanan kepada mangsa banjir di PPS agar menjaga keselamatan dan kesihatan dalam tempoh diuji bencana alam.

Norizan turut berpuas hati dengan semua agensi, jabatan dan pegawai daerah yang terlibat kerana memberikan komitmen tinggi sejak hari pertama banjir berlaku di Kedah.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini