Tumpuan :
Nasional

Sultan Johor murka keputusan tarik balik rayuan tuntutan Batu Puteh – Azalina

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, ketika menerima menghadap tiga Menteri Persekutuan berhubung isu Batu Puteh pada akhir Januari lalu.

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menzahirkan rasa murka dengan tindakan pentadbiran kerajaan terdahulu yang membuat keputusan berhubung isu tuntutan Batu Puteh, tanpa merujuk kepada baginda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam majlis menghadap bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, baginda menyatakan murka dengan keputusan kerajaan ketika itu sehingga kawasan berkenaan kini menjadi milik Singapura.

“Keputusan berhubung Batu Putih itu satu yang unik kerana Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Kerajaan ketika itu melepaskan hak rayuan berkenaan dan perkara ini akan dibawa untuk perbahasan dalam pembentangan Kertas Putih – Pulau Batu Puteh di Parlimen.

“Dalam apa juga situasi atau alasan, atau nasihat siapa pun hak merayu tidak sepatutnya dilepaskan,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, isu Batu Puteh ini sepatutnya dirujuk kepada Sultan Johor, kerana ia membabitkan isu kedaulatan tanah jajahan negeri Johor.

“Isu kedaulatan berkenaan Batu Puteh atau Middle Rock sepatutnya dirujuk kepada kerajaan negeri kerana ia bawah kekuasaan Sultan.

“Malah, jika dirujuk Akta Laut, daratan beberapa kilometer di bawah laut itu milik kerajaan negeri, namun dalam kes ini ia tidak dirujuk oleh Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri mahupun Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Azalina menjelaskan, Sultan Johor memuji usaha Malaysia dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong Januari lalu, yang mana kedua negara bersetuju mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Batu Puteh.

“Kita sudah terlepas peluang, namun apa yang menjadi keutamaan Malaysia kini supaya Singapura tidak membawa pembangunan di pulau itu,” katanya.

Batu Puteh ialah sebuah batu tunggal kira-kira 7.7 batu nautika (14 km), selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.

Ia kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003.

ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura.

Batu Puteh yang terletak di pintu masuk timur Selat Singapura, mempunyai rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera.

Sebelum ini dilaporkan ada penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017 di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ia termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an yang memperakukan Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, pada 11 Jun 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, membuat keputusan tidak meneruskan permohonan semakan. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini