comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Johor mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-262

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara.

Terdahulu, Sultan Ibrahim yang berangkat tiba jam 10:30 pagi berkenan menerima tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Kawad.

Sultan Ibrahim kemudiannya berkenan menjalankan upacara penanaman Pokok Mentega di perkarangan istana.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berangkat menyempurnakan upacara itu.

Turut berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 yang berlangsung dua hari bermula hari ini ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Foto: SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR / Facebook

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin manakala Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Pada mesyuarat tersebut, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri, dan Speaker DUN Sarawak diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Foto: SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR / Facebook

Difahamkan persidangan itu membincangkan mengenai tindakan negara mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Selain menggesa kerajaan Malaysia untuk terus lantang bersuara membela nasib rakyat Palestin dan membantah penindasan serta kezaliman berterusan rejim Zionis Israel di pentas antarabangsa atas tanggungjawab kemanusiaan.

Foto: SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR / Facebook

Juga seperti yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat, kelmarin, Isu kalimah Allah dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja, setelah perkara itu dibincangkan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hasil mesyuarat Majlis Raja-Raja itu akan menjadi panduan kepada kerajaan untuk mewujudkan garis panduan baharu bagi isu berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong dijadualkan berangkat ke hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 esok, yang turut akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Raja-Raja Melayu turut dijadual berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada Jumaat ini, bagi urusan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Loading...
Terkini