comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Johor mahu kembalikan semula projek HSR 

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang pernah dibatalkan sebelum ini, dikembalikan semula.

Dalam temu bual eksklusif dengan The Straits Times Singapura, Sultan Ibrahim bertitah, baginda mempunyai beberapa idea cara mengembalikan projek itu ke landasan yang betul.

“Saya akan berusaha menghidupkannya semula (projek HSR).

“Projek itu (HSR) boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta di mana kerajaan membayar kontraktor untuk mengendalikan projek menerusi kaedah pajakan 30 tahun supaya kontraktor boleh mendapatkan balik modal dikeluarkan, sebelum kerajaan mengambil alih semula pemilikan HSR.

“Projek HSR antara KL-Singapura juga perlu diselaraskan supaya lintasan sempadan melalui Forest City, pembangunan hartanah bermasalah di Johor.

“Jika kekal dengan cadangan pertama, kosnya tidak akan meningkat begitu banyak. Namun kerana (projek HSR) on-off-on-off, hari ini ia (kos) akan lebih banyak,” titah baginda yang merujuk kepada anggaran kos awal RM72 bilion HSR apabila projek itu mula diumumkan pada 2013.

Bagaimanapun, projek keretapi laju sepanjang 350 kilometer itu kini dianggarkan menelan kos melebihi RM100 bilion.

Pada 8 Mac lalu, kerajaan dilaporkan berkata ia terbuka untuk menghidupkan semula HSR selagi ia membabitkan pelaburan swasta.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menggesa rakyat negara ini memberi masa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan kemampuannya.

“Saya tidak fikir anda boleh menukar negara dalam satu tahun.

“Saya fikir (Kerajaan Perpaduan) ada menteri yang baik seperti (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke.

“Saya akan menyokong kerajaan, namun jika saya fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak wajar, saya akan memberitahu mereka,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah, baginda tidak menjangkakan akan ada masalah bekerja dengan Anwar kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Baginda bertitah, Anwar kadangkala menghubunginya untuk mendapatkan nasihat, walaupun pada tengah malam.

Pada 27 Oktober lalu, Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Pelantikan baginda selama lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2024.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini