comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Johor hargai sukarelawan banjir

Sultan Ibrahim diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar berangkat menziarah dan menyantuni mangsa banjir di tiga PPS di daerah Batu Pahat, hari ini. – FOTO: Ihsan RPO

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menzahirkan ucapan penghargaan terhadap sukarelawan yang terus gigih membantu mangsa banjir di negeri ini.

Baginda dalam hantaran terbaharu di media sosialnya, bertitah komitmen dan keprihatinan sukarelawan yang sentiasa menitikberatkan kebajikan mangsa-mangsa banjir di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) amat dihargai.

“Terima kasih sukarelawan dan juga semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir, bukan sahaja semasa bencana alam itu melanda, namun terus membantu sehingga pasca banjir,” titahnya.

Justeru, itu baginda bertitah agar mangsa banjir di negeri ini terus bersabar dengan musibah yang melanda.

“Ini semua dugaan dan banyakan bersabar. Saya sentiasa mendoakan keselamatan anda semua,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dengan diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berangkat menziarah dan menyantuni mangsa banjir di tiga PPS di daerah Batu Pahat.

FOTO: Ihsan RPO

Baginda Tuanku Sultan berangkat ke PPS Kolej Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menempatkan 919 mangsa melibatkan 210 keluarga.

Baginda kemudian meneruskan perjalanan ke PPS Dewan Gelanggang Pura Kencana yang menempatkan 753 mangsa daripada 184 keluarga.

Seterusnya berkenan untuk berangkat ke PPS Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn yang menempatkan 169 mangsa daripada 51 keluarga.

Baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi kepada setiap ketua keluarga, serta sumbangan kit penjagaan diri menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Malaysia Retail Chain Association (MRCA).

Loading...
Terkini