comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Johor harap Kerajaan Persekutuan salur peruntukan khas baiki kerosakan akibat banjir

 

Sultan Ibrahim Iskandar hadir merasmikan pembukaan penggal Persidangan Kedua DUN Johor.

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Persekutuan diharap dapat menyalurkan peruntukan khas kepada Johor bagi membaiki infrastruktur awam yang rosak, selain harta benda yang musnah akibat bah besar melanda negeri ini, sejak 1 Mac lalu.

Harapan itu dizahir Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Baginda bertitah, dua minggu lalu, Johor ditimpa banjir besar dan sehingga kini masih banyak kawasan yang belum pulih sepenuhnya terutama di Batu Pahat.

“Saya ingin menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap rakyat yang terpaksa berdepan musibah banjir yang sangat mencabar ini. Saya harap mereka sentiasa sabar dan tabah menghadapi ujian serta dugaan ini.”Selepas bencana ini berakhir, saya harap Kerajaan Pusat beri peruntukan khas untuk membaik pulih infrastruktur awam yang rosak dan harta benda yang musnah.

“Saya juga minta orang ramai menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir supaya mereka dapat membaiki rumah yang rosak dan menggantikan perabot serta alatan rumah yang musnah.”Jangan kita kedekut sangat. Masalah banjir ini kesan perubahan iklim dunia, jadi saya gesa bangsa Johor membudayakan amalan mesra alam dan kurangkan pencemaran alam sekitar,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan mesyuarat pertama bagi penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Banjir besar yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu dilaporkan berpunca daripada taburan hujan luar biasa, iaitu hampir dua kali ganda banyaknya daripada jumlah purata hujan bulanan di negeri ini.

Hujan selama dua hari pada 28 Februari dan 1 Mac lalu dilaporkan melebihi rekod jumlah hujan untuk tempoh sebulan.

Banjir besar Johor kali ini dilaporkan merekodkan sejumlah 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga di semua 10 daerah dan membabitkan 379 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, Sultan Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang bekerja bertungkus lumus membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan kewangan, bekalan makanan dan keperluan harian, alatan kebersihan serta paling penting bantuan tenaga sukarela yang datang dari seluruh negara.”Saya bangga dengan semangat kerjasama dan saling membantu yang diberikan tanpa mengira kaum atau agama. Inilah budaya hidup masyarakat kita yang perlu dipertahankan.”Saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Pusat yang memberikan peruntukan kewangan segera bagi meringankan beban mangsa banjir dan meneruskan projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Kota Tinggi, Segamat serta Batu Pahat untuk dilaksanakan segera,” katanya.

Loading...
Terkini