KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa santap pagi dengan menu nasi lemak bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi.
Baginda bersama Perdana Menteri menikmati menu berkenaan di Nasi Lemak Burung Hantu cawangan Semua House di Masjid India, di ibu negara.
“Orang ramai juga tidak melepaskan peluang bersalaman dan merakam foto bersama baginda.
“Baginda turut berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama kanak-kanak serta bertanyakan khabar,” menurut catatan di Facebook rasmi baginda hari ini.
Aktiviti bersarapan pagi dan minum petang bersama pemimpin negara dan rakyat jelata di lokasi umum sudah menjadi antara rutin baginda sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Penampilan santai baginda berkunjung ke lokasi-lokasi terpilih ini, memberi ruang untuk orang ramai menemui dan mendampingi baginda yang terkenal dengan jolokan raja berjiwa rakyat.
Nasi lemak sememangnya menjadi sajian sarapan pagi pilihan dan popular bagi semua rakyat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.