Tumpuan :
Nasional

Sultan Ibrahim dianugerah Ijazah Kehormat PhD UTHM

TUNKU Ismail menyampaikan ijazah kehormat kepada ayahanda Sultan Ibrahim pada Majlis Pembukaan Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-23, di Parit Raja, hari ini. FOTO: NSTP

Batu Pahat: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal sempena Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Ke-23 di Parit Raja, hari ini.

Anugerah itu disampaikan anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM sebagai menghargai sumbangan dan kecemerlangan baginda dalam kepimpinan lestari kepada UTHM, Bangsa Johor dan negara.

Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim pula dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTHM yang baharu bersama Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani.

Untuk rekod, Sultan Ibrahim adalah Canselor UTHM sejak 2002 hingga awal tahun lalu.

Pada 3 Disember tahun lalu, Tunku Ismail Johor dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baharu.

Turut hadir, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamad Khaled Nordin, Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim.

Merentasi beberapa dekad, Sultan Ibrahim memainkan peranan penting dalam pembangunan Johor dengan menonjolkan minat baginda yang mendalam terhadap pelbagai bidang, termasuklah teknologi kejuruteraan mekanikal.

Bersempena ulang tahun UTHM ke-25, baginda memberikan sumbangan besar kepada universiti ini dengan menyokong pengembangan program inovatif antaranya Aeronautik, termasuklah pernah menyumbang pesawat jenis “Lake Renegade LA-270” untuk kegunaan program itu.

Sultan Ibrahim pernah mencipta sejarah apabila menjadi sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari dan melakukan prosedur “turn table” bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan.

Ini melayakkan baginda memperoleh Lesen Memandu Lokomotif Kelas 26 yang menyumbang kepada warisan kejuruteraan negara serta diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Selain itu, baginda juga menyokong pengenalan program sarjana muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel, sejajar dengan perkembangan industri kereta api di Malaysia.

Ketika menjadi Canselor UTHM selama 20 tahun, baginda meletakkan nama universiti ini di persada antarabangsa melalui sokongan kewangan dan kerjasama dengan institusi pendidikan serta industri antarabangsa.

Baginda juga sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor (KMJ).

Aktiviti yang berteraskan kerja sosial yang diilhamkan Sultan Ibrahim sejak 2001 ketika menjadi Tunku Mahkota Johor adalah bertujuan untuk mendekatkan istana dengan rakyat selain mempromosikan industri pelancongan.

Program KMJ dengan konvoi pelbagai jenis kenderaan dijadikan acara tahunan yang disertai Menteri Besar dan pegawai kerajaan negeri di semua 10 daerah di negeri ini.

Loading...
Terkini