KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan hospital terbaharu KPJ Healthcare’s (KPJ), Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) di sini hari ini.
Baginda tiba tengah hari tadi dan merasmikan hospital ke-29 yang dikendalikan KPJ itu, dimiliki oleh Johor Corporation (JCorp) sebagai pemegang saham terbesar kumpulan itu.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi JCorp, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.
DSH2 mula beroperasi pada September tahun lepas, dengan matlamat untuk menyediakan kemudahan perubatan terkini serta rawatan menggunakan peralatan perubatan yang canggih kepada pesakit.
Hospital itu kini mempunyai 60 katil dan terdapat perancangan untuk meluaskannya kepada 120 katil menjelang akhir tahun ini. – BERNAMA