comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Ibrahim berkenan adakan lawatan negara ke Brunei Ahad ini

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar / Facebook

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengadakan lawatan negara ke Brunei pada 13 hingga 15 Oktober ini bagi memperkukuh lagi hubungan diraja antara Malaysia dan Brunei yang terjalin sejak 40 tahun lepas.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa, lawatan Seri Paduka Baginda yang diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, bertujuan memartabatkan lagi rumpun, budaya, dan Kesultanan Melayu.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

“Hubungan akrab Malaysia dan Brunei juga terserlah apabila Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Julai lepas,” menurut kenyataan itu.

Brunei adalah negara ketiga yang dikunjungi Sultan Ibrahim untuk lawatan negara, selepas Singapura dan China sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.

Pada 19 September, Sultan Ibrahim berangkat ke China atas jemputan Presiden Xi Jinping, menjadikan lawatan tersebut sebagai lawatan negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun.

Lawatan ini juga menandakan detik penting bagi kedua-dua negara ketika mereka meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Pada 6 Mei, Seri Paduka Baginda mengadakan lawatan ke Singapura atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini