Tumpuan :
Nasional

Sultan Brunei adakan lawatan khas ke Malaysia hari ini

PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Putrajaya hari ini (28 November) dalam satu Lawatan Khas ke negara ini.

Kenyataan Wisma Putra memaklumkan ia merupakan pertemuan julung kali antara Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Lawatan terakhir Baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

Malaysia dan Brunei Darussalam mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama insan.

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan berkenaan untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada selain meneroka potensi-potensi baharu bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada 2021, Brunei Darussalam merupakan rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan RM 8.03 bilion (USD1.94 bilion).

Loading...
Terkini