Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sulaiman sebak di hari terakhir

AYER KEROH: Pada hari terakhir memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri di sini, pagi tadi, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali gagal menahan sebak ketika menyampaikan ucapan kepada kakitangannya.

Tengahari tadi tular Video ADUN Lendu itu menyeka air matanya itu selepas beliau memasuki pejabat Ketua Menteri itu kira-kira jam 8.59 pagi.

Beliau dikatakan tidak bersedih melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri, sebaliknya beliau sedih untuk berpisah dengan kakitangannya yang sudah bersamanya dalam memberikan perkhidmatan cermerlang bagi negeri Melaka.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan pejabat ini yang banyak membantu saya.

“Jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan dan jangan ada sedikit pun kekurangan khidmat untuk Ketua Menteri yang baharu nanti,” katanya.

Buletin TV3 melaporkan Sulaiman pagi tadi, masih memasuki pejabatnya seperti biasa di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh untuk bertemu kakitangannya meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam  mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Zahid hari ini turut mengesahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga ADUN Tanjung Bidara, calon tunggal dikemukakan parti itu kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.

Loading...
Terkini