Oleh: Baharuddin Mohamed
MELAKA: Spekulasi politik Melaka kini semakin hangat diperkatakan apabila kepimpinan nombor satu negeri itu dikatakan bakal bertukar tangan.
Desas-desus mengaitkan kedudukan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan berundur dan bakal digantikan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Walau bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika dihubungi media menyangkal dakwaan itu sebagaimana didakwa sebuah portal berbahasa Cina baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu sebaliknya berkata, dakwaan sedemikian adalah kali kedua menimpa dirinya sebagaimana berlaku pada Mei lalu.
“Tak betul,” katanya ringkas ketika ditanya menerusi kiriman WhatsApp berhubung dakwaan akan meletakkan jawatannya dalam awal bulan depan.
Semalam, laporan media menyebut Sulaiman bakal berundur pada 3 Januari ini bagi memberi laluan kepada Ab Rauf Yusoh menggalas jawatan itu.
Spekulasi mengenai peletakan jawatannya timbul pada Mei lalu kononnya Sulaiman dipaksa pihak tertentu untuk menandatangani surat peletakan jawatan.
Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu sambil menyifatkannya sebagai agenda mereka yang hanya ingin menggugat kestabilan kerajaan negeri dipimpinnya sejak Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), November tahun lalu.
Spekulasi itu kemudian reda sebelum kembali hangat diperkatakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.
Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ke-13 pada 21 November tahun lalu selepas BN menang 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.