comscore
Tumpuan :
Nasional

Suku temiar bimbang sumber makanan dimusnahkan gajah liar

GUA MUSANG: Seramai 115 keluarga orang asli suku kaum Temiar di Kampung Gawin, Pos Gob di sini hidup dalam kebimbangan apabila kawasan tanaman padi bukit dan kebun mereka dimusnahkan gajah liar sejak Mei lalu.

Lebih membimbangkan tanaman padi bukit, ubi kayu dan pisang itu adalah sumber makanan dan sebagai persedian mereka menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda bulan ini.

Salah seorang penduduk di sini Anita Alig, 48, berkata, dia sedih apabila melihat kebun dan tanaman mereka dimusnahkan gajah liar.

Katanya, tanaman yang diusahakan penduduk itu adalah sebagai persediaan musim tengkujuh yang dijangka tiba tidak lama lagi.

“Kami penduduk Orang Asli yang tinggal di pedalaman hanya bergantung kepada hasil tanaman untuk meneruskan kelangsungan hidup. Tetapi apabila tanaman kerap kali dimusnahkan haiwan liar, kami terputus sumber makanan.

“Lebih merisaukan kami, menjelang musim tengkujuh nanti kami tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi sepanjang musim hujan.

“Hendak beli bekalan makanan diluar pun perlukan duit sedangkan kami hanya bergantung pada hasil kebun semata dan kini dirosakkan gajah liar,” katanya.

Manakala bagi Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Aman Angah, 32, dia menerima aduan daripada penduduk Kampung Gawin tentang kejadian yang berlaku pada minggu lalu.

“Kalau ikutkan ini bukan kali pertama saya menerima aduan ganguan gajah liar di Kampung Gawin.”Sepanjang tahun ini sudah beberapa kali tanaman penduduk termasuk padi bukit dirosakkan gajah liar.

“Saya harap tindakan segera dapat diambik pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah ini, tambahan pula penduduk semakin terdesak untuk menyimpan bekalan makanan apabila musim tengkujuh tiba,” katanya.

Loading...
Terkini