Oleh Kumaran Rajamoney
SINTOK: Seramai 60 sukarelawan Universiti Utara Malaysia (UUM) digerakkan ke Johor bagi menyertai misi bantuan pasca banjir bermula hari ini sehingga 10 Mac ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed menjelaskan, misi itu adalah tanda keprihatinan UUM dalam memastikan mangsa banjir di Johor mendapat bantuan yang secukupnya.
“Malaysia bersedih dengan tragedi banjir yang menimpa Johor baru-baru ini kerana ramai yang kehilangan harta, tempat tinggal yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) justeru kita bersiap-siaga membantu meringankan beban mangsa banjir.
“Terima kasih sukarelawan UUM, dalam meredah cabaran seikhlas hati ketika membantu orang lain dan misi ini akan membantu memanusiakan manusia pada diri mahasiswa,” ucapnya ketika Misi Bantuan Pasca Banjir Johor 2023, berlangsung di Kompleks Ahmad Fawzi Basri, pagi tadi.
Jelasnya, mahasiswa sebagai pemimpin masa hadapan akan menjadi contoh kepada masyarakat dengan menunjukkan akhlak mulia dalam membudayakan sikap keprihatinan, bertanggungjawab dan empati terhadap isu kemanusiaan.
Sementara itu, Ketua Misi Bantuan Pasca Banjir Johor 2023, Mohd Khairone Md Khatidin berkata, sukarelawan ini terdiri daripada 10 staf dan 50 pelajar turun padang untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir di Daerah Segamat, Tangkak, Batu Pahat, Caah, Kluang, Muar, Labis, Skudai dan Paloh.
“Usaha ini penting dalam mendukung kesiapsiagaan negara menghadapi keadaan kecemasan dalam bencana banjir yang memerlukan sukarelawan yang berkemahiran untuk memberikan bantuan,” ujarnya.
Jelasnya, program ini mendapat kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC).
Ujarnya, operasi banjir kali ini termasuk membersihkan 30 buah rumah, menghantar bantuan makanan dan kesihatan serta sebanyak 100 kotak Rahmah.
“Banjir yang melanda bukan hanya mendatangkan kerosakan harta benda dan kematian malah turut memberi kesan gangguan emosi misalnya dirundung sedih, bimbang dan takut.
“Justeru para kaunselor turut memberi sokongan psikososial dan emosi kepada mangsa banjir menerusi Psychology First Aid (PFA) dan motivasi,” katanya.