Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk membina fasiliti sukan baharu di Sarawak sempena penganjuran Sukan SEA 2027.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, sebaliknya kerajaan akan menaik taraf kemudahan yang sedia ada untuk kegunaan temasya sukan berkenaan.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri setelah penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sekretariat Sukan SEA 2027. Jadi sehingga kini kerajaan kita tidak ada hasrat untuk bina stadium atau fasiliti sukan yang baharu untuk tujuan Sukan SEA 2027.
“Walaubagaimanapun pihak kerajaan akan menaik taraf kemudahan kemudahan yang sedia ada sukan untuk kegunaan pada 2027 akan datang. Termasuk di Sarawak selepas diadakan koordinasi dan perbincangan lanjut.” Katanya di Dewan Rakyat, di sini ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkol.
Tambahnya, berhubung isu pemilihan atlet untuk mewakili negara, pelbagai saluran dilakukan bagi memastikan atlet pelapis mendapat pendedahan sewajarnya.
“Pemilihan atlet dijalankan oleh Majlis Sukan Negara dengan kerjasama persatuan-persatuan yang terlibat. Kita tahu sukan SEA ada antara 38 hingga 44 jenis sukan yang dipertandingkan jadi pemilihan atlet ini berlaku dari semasa ke semasa menerusi banyak saluran antara lain sukan Malaysia dan beberapa sukan-sukan terbuka.
“Kita beri peluang Sukan Sea ini sebagai platform bagi atlet-atlet baharu berbanding atlet senior, kerana ini adalah salah satu temasya sukan yang tersedia untuk mereka mewakili negara pada peringkat awal karier mereka, sebelum mereka melayak ke sukan yang lebih besar seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Olimpik.
“Jadi pembangunan bakat baharu ini memang sentiasa diteruskan menerusi penganjuran peringkat di akar umbi dan juga pertandingan tidak terhad hanya di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan. Kita juga melihat kepada yang dikendalikan Kementerian Pendidikan menerusi Majlis Sukan-Sukan Malaysia.” Ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.