Oleh: Syafiqah Damanhuri
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menerima sebanyak 1,291 aduan mengenai isu tiada kewarganegaraan sejak tahun 2015.
Menurut Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad, pelbagai usaha mendalami isu itu dari perspektif perundangan dan makro yang lebih luas sudah dijalankan, namun pengalaman hidup individu tiada kewarganegaraan tersebut kurang diberikan perhatian.
“Untuk merapatkan jurang berhubung perkara itu, SUHAKAM melantik Prof Madya Dr Melati Nungsari pada tahun 2021 untuk menjalankan kajian mendalam bagi menilai aspek perundangan, dasar, pentadbiran, kerangka institusi dan proses yang memberi kesan kepada akses kewarganegaraan.” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Prof. Datuk DR. Rahmat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam ucapan khas beliau turut bersetuju bahawa tiada kewarganegaraan adalah isu global yang serius serta menghalang pembangunan dan pembinaan sesebuah negara bangsa.
“Kebimbangan mengenai isu akses dan hak asasi manusia golongan kanak-kanak tiada warganegara, serta menekankan kepentingan untuk mengambil pendekatan strategik bagi menangani isu tersebut seterusnya menyeru kerjasama antara semua pihak berkepentingan.”
Untuk itu SUHAKAM melancarkan Laporan Penyelidikan ‘Hak Asasi Manusia dan Tiada Kewarganegaraan di Semenanjung Malaysia’ sebagai salah satu inisiatif untuk mengenengahkan syor serta hasil kajian berasaskan fakta mengenai isu tiada kewarganegaraan.
Laporan setebal 347 muka surat itu turut mengetengahkan isu mendidik pemohon kewarganegaraan tentang kepentingan mendapatkan bantuan awal dan mengembangkan kapasiti organisasi perkhidmatan awam (CSO) di lapangan.