
KUALA LUMPUR: Kos yang tinggi dan kesukaran dalam menerima dan mengembalikan kertas undi antara cabaran yang dikenal pasti dihadapi pengundi pos yang berada di luar negara.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan beberapa cadangan secara serius bagi menangani isu berkenaan.
Pengerusi SUHAKAM, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad berkata cabaran sedemikian dilihat berpotensi menghalang pengundi luar negara daripada menerima dan mengembalikan kertas undi mereka tepat pada waktunya.

“Perkara itu seterusnya akan menghalang penyertaan mereka dalam proses pilihan raya sedangkan amat penting untuk memastikan penyertaan yang adil dan inklusif semua pengundi pos luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, SUHAKAM menyatakan pendirian tegas dalam isu hak mengundi dan penyertaan demokratik semua rakyat Malaysia, seperti yang dijamin oleh Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan, serta terdapat di dalam Artikel 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Artikel 25 (b) Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR).
“Dengan mengambil kira Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin dekat, SUHAKAM menekankan kepentingan untuk menangani isu-isu ini sebelum pilihan raya berjalan. Perlindungan hak asasi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara adalah penting dan langkah-langkah yang sesuai harus dilaksanakan untuk memudahkan mereka melaksanakan hak mengundi dengan lancar,” katanya.
Kata Rahmat, SUHAKAM akan terus memberikan komitmen mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan demi advokasi hak mengundi dan penyertaan demokratik semua rakyat Malaysia.
“Kami percaya bahawa pengukuhan sistem pilihan raya dan menangani cabaran yang dihadapi oleh pengundi melalui pos luar negara akan menyumbang kepada demokrasi yang lebih inklusif dan teguh di Malaysia.”
Tambahnya lagi, cabaran lain yang dihadapi golongan itu adalah tempoh pendaftaran terhad bagi pengundi pos luar negara serta tempoh kempen pilihan raya yang singkat.