RANTAU PANJANG: Penduduk Kampung Tersang, di sini, mengakui sudah lali malah kemunculan banjir yang mengenangi halaman kediaman mereka sejak petang semalam, bukan lagi kejadian yang mengejutkan.
Tinjauan ke penempatan itu, hari ini, mendapati keseluruhan rumah digenangi air separas 0.5 meter, menyebabkan penduduk mula memasang titi untuk memudahkan mereka menyeberangi air ke jalan utama.
Penduduk Marlina Abd Rahman, 43, berkata dia sekeluarga sudah mengagak bahawa banjir akan melanda apabila hujan turun dengan lebat semalam, selain air Sungai Lachang, berdekatan penempatan ini berada pada paras tinggi.
“Hampir keseluruhan penduduk di sini masih belum turunkan barangan yang disimpan ketika bah melanda Disember lalu, begitu juga dengan kami sekeluarga. Jadi, banjir kali ini kami lebih bersedia namun dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang air naik mendadak.
“Sebenarnya, hari ini cuaca elok sahaja tetapi air tiba-tiba naik seolah-olah penempatan kami menerima hujan yang lebat. Bagaimana pun, saya dimaklumkan bahawa Sungai Golok juga berada pada paras yang tinggi susulan hujan yang berlaku di sebelah hulu.
“Saya cuma berharap agar banjir yang melanda ini tidak berlarutan kerana kami sudah penat untuk berpindah selain tidak sanggup lagi kehilangan harta benda,” katanya ketika ditemui di Kampung Tersang, di sini, hari ini
Sementara itu, bagi Mohd Nawi Abdullah, 53, dia mengakui tidak mampu untuk tidur lena kerana bimbang air terus bertambah tinggi kerana biasanya banjir melanda pada waktu tengah malam.
“Rasanya kami akan terus ‘dihantui’ rasa bimbang setiap kali hujan lebat jika pihak bertanggungjawab dengan projek benteng yang dibina berdekatan penempatan kami masih belum mencari inisiatif terbaik.
“Saya tak nak salahkan sesiapa, tetapi projek terbabit menjadi alasan utama kami di sini merana. Semoga cuaca akan kembali baik agar banjir besar seperti beberapa bulan lalu tidak kembali lagi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, penduduk di 62 kampung di seluruh Rantau Panjang mengakui kecewa dengan pembinaan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dianggap gagal.
Penduduk mendakwa sejak pembinaan benteng dimulakan pada 2018, keadaan banjir di kampung terbabit menjadi semakin teruk dengan kemuncaknya pada Disember tahun lalu apabila hanya tujuh kampung di Parlimen Rantau Panjang yang terselamat dari bencana alam itu.
Masalah berkenaan juga mendapat perhatian Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang turun padang melihat sendiri projek PLSB dan mendengar keluhan rakyat yang menjadi mangsa pada 21 Januari lalu.