AMPANG JAYA: Kejadian tanah runtuh yang merosakkan dua kediaman di Taman Halaman ialah kejadian kedua tahun ini.
Seorang peduduk, Khamis Idris, 74, kejadian pertama berlaku pada 15 November lalu, membabitkan kediamannya sendiri dan menyebabkan dapur rumahnya rosak.
Menceritakan mengenai kejadian semalam, Khamis berkata, sewaktu runtuhan tanah itu berlaku, beliau berada di luar rumah untuk membersihkan longkang.
Katanya, beliau tidak menyangka dentuman yang didengari rupa-rupanya runtuhan tanah dari cerun di belakang rumah jirannya.
“Beberapa minit selepas hujan lebat bertukar renyai-renyai, berlalu pergerakan tanah secara tiba-tiba di belakang rumah jiran.
“Nasib baik dalam kejadian kali kedua ini, rumah saya tidak terjejas memandangkan kerja penyelenggaraan cerun sedang dilakukan ketika ini,” katanya.
Khamis berkata, beliau dan keluarganya sudah mengosongkan rumah sejak tiga minggu lalu, sejurus kejadian tanah runtuh pada 15 November lalu.
Seorang lagi mangsa, Lai Yow Sun, 73, berkata, kediaman yang didiaminya sejak 30 tahun lalu paling teruk terjejas.
Beliau berkata, ketika kejadian itu, dua orang cucunya berusia 16 dan 13 tahun berada di dalam rumah, sebelum mereka terdengar bunyi dentuman dari arah belakang.
“Ketika itu, saya baru sahaja keluar rumah untuk mengambil seorang lagi cucu berusia 10 tahun dari tempat tuisyen.
“Tiba-tiba, saya dapat panggilan daripada menantu memaklumkan tanah runtuh sehingga menyebabkan dinding dapur rumah kami pecah,” katanya.
Yow Sun berkata, meeka sekeluarga bersyukur kerana runtuhan hanya menenggelamkan sebahagian belakang rumah dan ketika kejadian, dua cucunya berada di bilik di tingkat dua.
Kejadian berkenaan menyebabkan rumahnya di bahagian belakang dan tepi ditimbun pasir, pokok serta batu yang menggelungsur.
Tinjauan mendapati, beberapa pemilik kediaman yang terjejas akibat runtuhan tanah mula mengosongkan kediaman mereka selepas diminta berbuat demikian atas faktor keselamatan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata penghuni tiga buah rumah diarah mengosongkan kediaman mereka kerana dikhuatiri berlaku pergerakan tanah, susulan hujan lebat berterusan di lokasi kejadian tanah runtuh itu sejak semalam.
“Kejadian ini membabitkan dua unit rumah bunglo lima tingkat. Tanah bahagian belakang rumah mengelongsor menyebabkan dinding dapur sebuah rumah terbabit pecah dan dimasuki tanah.
“Kawasan rumah yang terkesan ialah banglo sebuah, iaitu sembilan buah rumah yang dibina di lereng bukit. Hujan lebat yang berterusan menyebabkan air berlumpur mengalir sehingga ke hadapan rumah,” katanya.
Beliau berkata, polis kini mengawal kawasan sekitar dengan meletakkan sebuah van dan mendirikan pusat kawalan tempat kejadian bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Semalam, Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis dalam kenyataan, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 6.14 petang, sebelum tujuh anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang digerakkan ke lokasi.