comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi tiket penerbangan siswa dicadang disambung tahun depan

KUCHING: Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk meneruskan pemberian bantuan subsidi tiket penerbangan untuk pelajar institusi pengajian tinggi tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ketika ini Kementerian Pengangkutan sudah memohon peruntukan untuk melaksanakan inisiatif terbabit bagi meringankan beban pelajar untuk bergerak antara wilayah.

“Kita menyasarkan seramai 56,000 pelajar pada tahun hadapan dapat menikmati inisiatif ini terutamanya pelajar-pelajar dari Semenanjung Malaysia yang hendak ke Sabah atau Sarawak begitu juga pelajar Sabah atau Sarawak yang hendak ke Semenanjung Malaysia.

“Jadi pelajar-pelajar kita ini bolehlah merancang perjalanan dan mengatur tiket penerbangan bilakah hendak balik bercuti dan sebagainya dengan bantuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Radar di Bawah Projek Penggantian dan Menaiktaraf Sistem Pengurusan Trafik Udara Sabah dan Sarawak KKFIR di Kuching.

Menurut Datuk Hasbi, seramai 56,000 pelajar IPT di seluruh negara telah menikmati inisiatif itu dan pihaknya menyasarkan jumlah sama akan menerimanya apabila pemohonan untuk melanjutkan subsidi itu diluluskan tahun hadapan.

Pemberian subsidi itu diberikan kerajaan mulai 5 Ogos lalu dengan penebusannya dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.

Loading...
Terkini