comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi penerbangan luar bandar Sarawak, Sabah diteruskan

Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Subsidi penerbangan luar bandar di Sarawak dan Sabah akan diteruskan walaupun syarikat penerbangan MASwings diambil alih oleh kerajaan Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kementerian menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Sarawak supaya subsidi penerbangan luar bandar akan tetap disalurkan.

“Setiap tahun Kementerian Pengangkutan ada peruntukan khas (subsidi penerbangan luar bandar) untuk memastikan perkhidmatan penerbangan luar bandar (di Sarawak, Sabah) tidak terjejas.

“Subsidi pengangkutan luar bandar akan tetap diteruskan sekali pun kerajaan Sarawak ambil alih MasWing, kita tetap akan bagi subsidi untuk penerbangan luar bandar, kerana kita ada MoU dengan Sarawak.

“Tak kira siapa operator. Sebelum ini MasWing, sudah tentu subsidi disalurkan kepada MasWing, namun sekiranya selesai nanti kerajaan Sarawak melalui syarikat mereka mengambil alih MasWing, subsidi itu akan tetap disalurkan kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN, di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan subsidi pengangkutan luar bandar ditamatkan sekiranya MASwings diambil alih kerajaan Sarawak.

Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu dilaporkan bimbang jika subsidi berkenaan tidak diteruskan kos penerbangan intra Sabah akan meningkat.

Pada 11 Oktober lalu, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan yakin proses pengambilalihan syarikat penerbangan, MASwings oleh kerajaan Sarawak akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Premier Sarawak itu dilaporkan berkata, kerajaan Sarawak kini dalam peringkat rundingan lanjutan dengan beberapa pihak berkepentingan.

Ia membabitkan Malaysian Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional Bhd dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAB).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini