Tumpuan :
Nasional

Subsidi padi: 66,000 pesawah di Kedah bakal terima manfaat

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Sr Ismail Salleh

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik pengumuman kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata pengumuman itu ditunggu 66,000 ketua keluarga pesawah, iaitu 56,000 di kawasan MADA dan kira-kira 10,000 lagi di luar kawasan itu.

Artikel berkaitan: PM umum kadar subsidi harga padi naik mulai esok

“Kenaikan daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa hari ini, dianggap bertepatan dengan musim menuai, tidak lama lagi.

Peningkatan subsidi ini akan memberi kesan besar kepada pesawah yang kebanyakannya adalah golongan berpendapatan rendah selepas kerajaan turut memberikan bantuan bulanan ketika di luar musim menanam,” katanya.

Bantuan ini katanya adalah kesinambungan usaha Perdana Menteri dalam membenteras masalah kemiskinan di kalangan pesawah.

Foto hiasan

Sebelum ini, usaha dilakukan dengan bantuan khas daripada syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan komitmen kerajaan menyediakan RM3 bilion untuk melengkapkan infrastruktur pertanian.

Selain itu bantuan RM200 selama tiga bulan juga disalurkan.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata pengumuman itu tepat pada masanya kerana musim penuaian bermula tidak lama lagi.

“Ada yang kata tunggu selepas pilihan raya. Kalau Perdana Menteri tunggu selepas pilihan raya, maka rugi kepada mereka yang sedang ambil padi sekarang. Mereka mungkin terlepas subsidi ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan kadar subsidi harga padi daripada RM360 kepada RM500 satu tan bermula hari ini.

Berita gembira untuk pesawah padi itu diumum Anwar ketika berucap di Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai Parit Buntar, semalam.

Loading...
Terkini