KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji subsidi diesel bersasar kepada operator feri di seluruh negara.
Menurut Menterinya, Anthony Loke, inisiatif itu bagi membantu mengurangkan beban operator feri yang berdepan kerugian.
“Jadi memang ada kerugian, jadi kita nak bantu operator ini betul kita nak cuba dapatkan subsidi diesel untuk operator-operator feri dan Kementerian Pengangkutan memang sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan.
“Saya rasa ada berita baik akan kita sampaikan tidak lama lagi, secara prinsipnya Kementerian Kewangan tidak ada masalah tetapi saya perlukan surat hitam putih daripada Kementerian kewangan dulu,” jelasnya.
Tambahnya, sebarang langkah yang akan diambil itu akan memanfaatkan semua operator feri tanpa mengira kasih.
“Bahawa memberikan subsidi kepada operator dan saya nyatakan dalam Dewan Yang mulia ini, apabila dia diberikan subsidi, kita tidak pilih kasih bukannya hanya operator feri Pulau Pinang sahaja dapat subsidi.
“Feri Langkawi juga akan dapat, Feri Tioman juga, ke hadapan feri dekat Sabah juga akan dapat subsidi ini. Jadi kalau semua akan dapat, semua akan diberi supaya kita nak pastikan operator operator feri ini dapat bertahan, mereka dapat melanjutkan operasi mereka dan supaya tiket itu tidak membebankan kepada pengguna ini yang penting,” katanya lagi.
Tegasnya perkhidmatan feri amat penting dalam menghubungkan rakyat dari suatu kawasan ke kawasan lain di negara ini.
“Kalau kita tak bagi subsidi, tak ada operator feri nak buat maka daripada Kuala Kedah, Kuala Perlis nak pergi ke Pulau Langkawi tak ada lagi network, mana boleh kita dah putus hubungan.
“Jadi itu memang akan dibuat Langkawi, tanya ada tak operator nak buat teksi. Kalau ada operator nak melabur saya alu-alukan Yang berhormat Langkawi bawa kepada saya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi MOT di Dewan Rakyat hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.