Tumpuan :
Nasional

Subsidi bersasar perlu dilihat secara holistik, rangkumi pengusaha industri

FOTO : Pustaka NSTP

KUALA LUMPUR: Tempoh dua minggu yang diberi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada agensi kerajaan untuk menggubal pelaksanaan subsidi bersasar dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang menekan rakyat dilihat sebagai pendekatan positif yang amat diperlukan negara ketika ini.

Lebih-lebih lagi jika mengambil kira kedudukan kewangan semasa negara.

Penganalisis melihat usaha itu yang pernah dirancang oleh kerajaan sebelum ini mampu direalisasikan oleh kerajaan bakal dibentuk oleh Anwar.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Faizal Kasmani, berkata Malaysia boleh mencontohi pendekatan serupa yang pernah dilaksanakan beberapa negara, antaranya Indonesia dan Jordan, menerusi inisiatif seperti pemindahan tunai yang menjamin bantuan sampai kepada golongan benar-benar layak.

“Pengagihan subsidi bersasar dengan pelaksanaan sistem pemindahan tunai, jika direka dengan baik, biasanya boleh terus sampai kepada golongan yang memerlukan berbanding ketika ini di mana (subsidi) turut dinikmati golongan kaya dan industri.

“Namun, inisiatif ini perlu didatangkan dengan kempen-kempen komunikasi yang berkesan kepada rakyat bagi menjelaskan akan keperluan pelaksanaan subsidi secara bersasar untuk jangka panjang,” katanya kepada Bernama.

Sistem pemindahan wang tunai pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini, namun pelaksanaannya lebih tertumpu pada bantuan membeli barang keperluan melalui pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), bukan berbentuk agihan subsidi.

Justeru, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, apa yang perlu dilakukan kerajaan sekarang ialah memanfaatkan data penerima BKM bagi melaksanakan subsidi bersasar itu.

Sebelum ini, pendekatan itu sukar dilaksanakan kerana negara tidak mempunyai data terperinci isi rumah setiap individu meliputi maklumat seperti pekerjaan dan lokasi tempat tinggal, sekali gus menyebabkan keistimewaan berkenaan dinikmati semua golongan secara sama rata.

Pada masa sama, Faizal berkata, data penerima terbabit juga perlu dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima subsidi.

Setakat ini, dilaporkan terdapat kira-kira 8.7 juta menerima manfaat BKM.

Kementerian Kewangan sebelum ini dipetik berkata, perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi 2022 setakat ini diunjurkan berjumlah RM77.3 bilion, yang diakui sebagai jumlah terbesar dalam sejarah mana-mana kerajaan.

Unjuran itu meliputi subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) berjumlah RM37.3 bilion; minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

Bagaimanapun, Faizal berkata, penstrukturan semula subsidi bersasar itu perlu dilihat secara holistik dengan turut merangkumi pengusaha industri.

Beliau menjelaskan apabila subsidi ditarik balik, pengusaha makanan seperti penternak ayam akan menjadi antara pihak terkesan dengan kenaikan kos operasi, sekali gus mewajarkan mereka menerima bantuan.

“Adalah penting pemberian subsidi secara bersasar ini meliputi ekosistem pengeluar dan pengguna, bagi mengelak kenaikan harga barang yang sangat mendadak dalam konteks inflasi tinggi di seluruh dunia, sehingga akhirnya akan turut menyukarkan lagi pengguna,” katanya.

Bank Dunia dalam satu kajian terbaharunya memberi amaran bahawa dunia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan pada 2023 tatkala banyak bank pusat menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) masing-masing dalam usaha menangani inflasi.

Mengambil kira permasalahan berbangkit, Faizal berkata, agensi berkenaan wajar diberi masa lebih lama bagi mencerakin pelaksanaan subsidi bersasar itu.

“… tempoh dua minggu memang sangat singkat sedangkan penelitian menyeluruh perlu dilakukan dan perbincangan juga harus membabitkan pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, disebabkan pelan untuk subsidi bersasar ini sudah dicadangkan oleh pemerintahan sebelum ini, sepatutnya telah ada rangka yang dibina,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan kerajaan bekerjasama dengan lebih banyak negara dalam mengimport makanan dan tidak tertumpu pada satu negara seperti yang diamalkan sekarang, misalnya membeli cili hanya dari India.

“Setakat ini, kita banyak bergantung pada mekanisme subsidi bersifat sementara. Justeru, kita perlu memikirkan cara lain menangani isu bekalan makanan kerana kita masih lagi pada tahap negara pengguna dan bukannya negara pengeluar makanan,” katanya.

Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Muhammad Fuad Othman turut senada dengan Faizal dalam aspek kos sara hidup, namun beliau mahu Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar memastikan kadar inflasi turun pada kadar yang munasabah.

“Selain itu, perlu ada pelan dan dasar yang jelas untuk merancakkan kembali ekonomi negara bagi menarik lebih ramai pelabur luar dan saya melihat ada keperluan mewujudkan suntikan dana-dana baharu untuk pemain industri yang memerlukannya,” katanya.

Beliau berkata, negara memerlukan bantuan negara luar untuk memulihkan ekonomi dan oleh itu, pentingnya hubungan diplomatik yang lebih baik dalam usaha menarik pelaburan langsung asing, sekali gus memberi kesan positif dan mengembangkan potensi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pengalaman Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan beberapa jawatan menteri sebelum ini serta PH yang pernah memegang tampuk kerajaan selama 22 bulan, manakala Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun, saya berpandangan kerajaan baharu ini cukup kompeten.

“Cuma, paling penting adalah bagaimana kerjasama sesama mereka dalam berkongsi kemahiran pentadbiran dan menggerakkan ekonomi negara dapat dilakukan dan ini sebenarnya patut dilihat sebagai kekuatan, bukannya kelemahan,” katanya.

‘Kerajaan pimpinan Anwar ketika ini dilaporkan telah mencapai majoriti dua per tiga dengan penyertaan terkini Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain GRS, tiga komponen terbesar yang membentuk Kerajaan Perpaduan ialah PH, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta turut disokong WARISAN, MUDA dan Parti Bangsa Malaysia.

Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun mengambil pendekatan sebaliknya biarpun mempunyai kerusi Parlimen kedua terbanyak selepas PH dan Muhammad Fuad melihat PN berpotensi menjadi pembangkang yang berwibawa.

Pengalaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan beberapa bekas menteri PN dalam pentadbiran kerajaan terdahulu membolehkan mereka menjalankan fungsi semak dan imbang dengan berkesan.

Ulas beliau, ada pihak bersetuju PN tidak menyertai kerajaan kerana langkah sedemikian boleh menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan ‘selesa’ kerana tidak ada pihak yang membantah dalam penggubalan dasar, termasuk belanjawan.

“Lagipun, tugas semak dan imbang amat penting bagi memastikan tiada ketirisan dan kerajaan perlu cuba sebaik mungkin memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, Faizal ketika mengulas kepentingan kewujudan pembangkang dalam Kerajaan Perpaduan pula berkata, sistem pentadbiran Parlimen dengan acuan Westminster memerlukan pihak kerajaan dan pembangkang dalam membincangkan dasar yang digubal.

“Saya lebih suka jika ada pihak pembangkang kerana mereka boleh menilai kembali pemberian subsidi sedia ada yang perlu diteliti dan didebatkan lebih tuntas dalam sidang Parlimen agar dasar terbabit tidak bersifat sementara tetapi lebih menyeluruh.

“Apatah lagi pihak pembangkang secara tidak langsung boleh juga dianggap sebagai ‘shadow government’ (kerajaan bayangan yang bertindak sebagai pemantau) sepertimana pembangkang di United Kingdom yang mana mereka mempunyai dasar dan pembentangan belanjawan sendiri,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini