Oleh: Fahiz Ariff, Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Ahli Parlimen pembangkang agar tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertahankan golongan maha kaya berkaitan isu definisi subsidi bersasar untuk petroleum RON 95 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perdebatan mengenainya, beliau menegaskan, langkah penyasaran subsidi petrol itu perlu, memandangkan kerajaan kini telah membelanjakan RM20 bilion dalam perbelanjaan subsidi setahun.
Malah, langkah itu juga sebagai usaha supaya bahan api itu hanya digunakan rakyat dan bukan golongan mahakaya serta warga asing di negara ini.
“Yang penting disini diketahui ialah bahawa, subsidi tidak membebankan 85 peratus rakyat.
“Jadi sepatutnya kita janganlah jadi jaguh T15, seperti mana banyak yang disuarakan pembangkang.
“Prinsip penyasaran subsidi itu harus jelas dan terpaksa dikekalkan kerana kerajaan menanggung sekitar RM20 Billion setahun dan saya percaya hal ini boleh dipertahankan sekiranya bantuan atau subsidi itu kepada rakyat.
“Soalnya sekarang ialah apakah munasabah kerajaan meneruskan subsidi kepada bukan warganegara dan golongan teratas termasuk maha kaya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau terdahulu menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk petrol RON95 seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 dan mekanisme yang akan digunakan berkaitan pelaksanaan cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu.
Dalam pada itu ujarnya, kuantum pendapatan untuk takrifan T15 sedang dikaji dan mungkin dinaikkan untuk tidak bebankan rakyat.
“Ada isu mengenai kedudukan T15, maka kita lepaskan tanggungjawab ini membayar (harga pasaran bagi petrol RON95) kepada B40, M40 dan bila dikaji, ada rangkaian daripada T20 ini di peringkat bawah.
“Itu mungkin pendapatannya agak sedikit rendah, maka dinaikkan. Ini bukan perkara baharu sebab dalam penyelarasan subsidi diesel digunakan prinsip yang sama.
“Apa kuantumnya? Itu sedang dikaji, kerana kita rasa yang ditekankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sekitar RM13,000.00 mungkin terlalu rendah,” jelas Datuk Seri Anwar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.