KAJANG: Bekas pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) dipenjara 14 bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana sengaja mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang mungkin mengalami kecederaan fizikal, Mei lalu.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Nor A’in Ismail, 24, selepas wanita itu kekal mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini dan tertuduh diperintah bon berkelakuan baik dengan jaminan RM2,000 tanpa cagaran selama tiga tahun.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan satu perintah tambahan iaitu khidmat masyarakat selama 120 jam selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada seorang bayi berusia dua bulan itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lima bulan didapati dengan sengaja mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah Taska di Bandar Mahkota Cheras, di sini, jam 4.15 petang, 28 Mei lalu.
Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam S Priyalatha yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya tidak dipenjara berikutan mempunyai anak perempuan berusia dua bulan yang masih menyusu badan.
“Bayi perempuannya juga mempunyai masalah jantung berlubang manakala anak guam juga menghidap penyakit kanser tiroid tahap dua yang kini masih dalam rawatan di Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara.
“Suami anak guam bekerja sebagai jururawat dan tertuduh kini hanya suri rumah sepenuh masa,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan memohon hukuman berat sebagai pengajaran keras bukan saja kepada tertuduh tetapi semua pihak yang menguruskan premis taska.
“Kes ini adalah antara yang mana terdapat saksi mata yang melihat kejadian penderaan yang boleh mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.
“Pihak pendakwaan ingin mewujudkan satu persoalan, sekiranya kanak-kanak itu adalah anak-anak kita sendiri dan diperlakukan seperti berikut di bawah penjagaan pengasuh yang diberikan kepercayaan untuk menjaga, apakah perasaan kita sebagai ibu bapa dan apa hukuman yang sesuai diberikan,” katanya.
Selepas prosiding selesai dan Nor A’in mahu dibawa ke Penjara Kajang, wanita itu menangis sambil memeluk erat suaminya.
Berdasarkan fakta kes, bapa kepada kanak-kanak itu menerima aduan daripada seorang guru wanita di taska berkenaan mangsa tidak suka makan.
Guru berkenaan juga memberitahu tertuduh yang dipanggil Anne memaksa dan menyuap mangsa makan dengan kasar, dan kejadian itu dirakam menggunakan telefon bimbitnya.
Bapa mangsa juga mendapati terdapat kesan luka kecil pada bahagian luar hidung anaknya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.