Tumpuan :
Nasional

“Suami ‘pergi’ dengan mudah, tenang” – Ina Naim

JOHOR BAHRU : “Arwah suami pergi dalam keadaan yang tenang dan mudah, disisi saya dan semua anak-anak kami,” kata Ina Naim.

Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim berkata, suaminya, Mohd Suhaimi Saad yang juga bekas anggota kumpulan nasyid In-Team itu sudah mula batuk teruk sejak Ogos lalu.

Katanya kesihatan suaminya semakin merosot awal Oktober lalu selepas mengalami cirit-birit sehingga susut berat badan sebanyak 20 kilogram (kg).

“Arwah tidak muntah hanya batuk teruk sejak bulan Ogos dan alami cirit birit. Arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 10 November lalu.

“Semasa dari Hospital Kota Tinggi lagi, arwah minta ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya.

Jenazah Allahyarham Shuhaimi Saad, 43 dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor untuk dibawa pulang ke rumah keluarga di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi. – Foto: NSTP

“Semasa hidup, arwah suami ada cakap hendak hidup sehingga usia 43 tahun dan 12 Oktober lepas genap usianya 43 tahun,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSI di sini, malam ini.

Suhaimi Saad, 43, disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Menurut Ina, Allahyarham hanya meninggalkan pesan meminta maaf kepada semua orang seperti yang dimuat naik di laman sosial TikTok miliknya sebelum ditidurkan.

Katanya sebagai isteri, dia juga momohon maaf bagi mewakili arwah suaminya.

Nordiana Mohd Naim, 39, bersama salah seorang anaknya, Sallman Elkhoyri, 13, ketika menunggu untuk menuntut jenazah suaminya, Allahyarham Shuhaimi Saad, 43, di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor. – Foto: NSTP

“Saya mohon maaf jika suami saya tersilap kata atau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak atau termakan, terminum atau terambil apa-apa, saya memohon maaf bagi pihak dia,”katanya.

Allahyarham Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Suhaimi dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HSI sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.

Jenazah dijangka dikebumikan di sana kira-kira jam 9 pagi esok.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini