Oleh: Selwam Arjunan
JITRA: Seorang lelaki maut, isterinya cedera, manakala empat lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Hutan Kampung, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 malam.
Jentera pertama dari BBP Jitra tiba di lokasi kejadian di Kilometer 37.5 Lebuhraya Plus arah selatan sebelum Plaza Tol Hutan Kampung pada jam 9.41 malam.
“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori treler, sebuah kereta Toyota Avanza dan sebuah kereta Proton Saga.
“Kemalangan membabitkan enam orang mangsa (iaitu seorang pemandu lelaki dalam lori, pasangan suami isteri dalam Proton Saga dan seorang lelaki serta dua wanita dalam Toyota Avanza).
“Seorang lelaki berusia 50-an yang tersepit dalam Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala isterinya berusia 50-an cedera ringan.
“Pemandu lori serta tiga orang dalam Avanza terselamat tanpa kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada jam 10.04 malam.
Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.