KUALA BERANG: Tiga sekeluarga hilang punca pendapatan berikutan suami yang menjadi tulang belakang mencari nafkah lumpuh selepas terjatuh dari pokok duku.
Norashikin Md Said, 43, dari Kampung Payang Kayu berkata, suaminya Mat Sani Embong, 40, sebelum ini bekerja sebagai buruh, namun tragedi terjatuh dari pokok mengubah kehidupan sehariannya.
Menurutnya, kejadian 5 September tahun lalu mengakibatkan keseluruhan badan suaminya disahkan lumpuh dan bermula dari situ dia hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika suami ke kebun untuk mengambil buah duku, namun tergelincir pada ketinggian dua meter.
“Berikutan kejadian itu, suami dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, untuk menerima rawatan lanjut.
“Suami ditempatkan di wad HSNZ selama 45 hari dan doktor memaklumkan saraf tunjangnya keluar dari tulang belakang.
“Akibatnya, suami kini tidak mampu bergerak dan kami sekeluarga hilang punca pendapatan, namun saya tetap bersyukur kerana memperoleh bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya yang mempunyai seorang anak berusia 13 tahun.
Tambahnya, hasil melakukan kerja buruh, suaminya sebelum ini memperoleh pendapatan sebanyak RM800 sebulan dan ia digunakan untuk menyara mereka sekeluarga.
Kini dia terpaksa bergantung kepada insan keluarga, selain sumbangan rakan dan pihak yang menghulurkan sumbangan.
Norashikin berkata, suaminya juga kini perlu memakai lampin pakai buang dan memerlukan penjagaan sepenuh masa termasuk makan, minum dan mandi.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai buruh ladang, namun terpaksa berhenti kerja kerana perlu menghantar dan menjemput anak di sekolah setiap hari.
“Oleh kerana kesempitan hidup kami sekeluarga hanya makan apa yang ada kerana buat masa ini hanya bergantung kepada wang bantuan dan ihsan semata-mata,” katanya kepada Berita Harian.