comscore
Tumpuan :
Nasional

Suami isteri terbunuh, 2 anak cedera dalam kemalangan di Raub

Oleh: Fazli Ahmad

RAUB: Sepasang suami isteri maut, manakala dua anak mereka parah selepas kereta dinaiki keluarga terbabit dirempuh pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya  Lingkaran Tengah Utama (LTU), dekat Batu Tiga, di Kilometer 350 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bharu, di sini, kira-kira jam 10:20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, hasil siasatan nahas dipercayai berlaku setelah kereta dinaiki keluarga terbabit membelok di persimpangan jalan terbabit selepas lampu isyarat di persimpangan terbabit bertukar ke hijau.

Menurutnya, ketika itu datang sebuah pacuan empat roda dari arah Lipis ke Raub merempuh kereta terbabit dari arah tepi kanan.

Katanya, akibat rempuhan itu pemandu kereta Muhamad Anasar Kamarozaman, 34, bertugas sebagai pengawal keselamatan sekolah, isteri Zalina Ali, 40, bekerja sebagai pembantu kedai maut di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati nahas disebabkan pemandu pacuan empat roda terbabit melanggar lampu isyarat merah dan melanggar kereta dinaiki keluarga terbabit.” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat.

Kedua-dua anak perempuan pasangan itu, seorang berusia 20 tahun mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi berusia 15 tahun patah kaki kini dirawat di Hospital Raub.

Pemandu Hilux lelaki berumur 40 tahun yang dilaporkan mengalami kecederaan di mata kiri dan dada kini direman empat hari.

Permohonan reman yang dibenarkan di Mahkamah Raub itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini