MERSING: Suami isteri yang maut selepas kereta dinaiki terjatuh ke parit dalam kemalangan dengan Perodua Alza di Kilometer 19 Jalan Mersing Endau, tengah hari semalam, meninggal dunia akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan jam 12.30 tengah hari semalam.
Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 48 tahun dari arah Endau ke Mersing hilang kawalan.
Alza itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Peugeot yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun. Akibat pertembungan itu, Peugeot terbabas ke parit.
Kemalangan telah menyebabkan penumpang belakang Peugeot iaitu seorang wanita berumur 64 tahun Zainab Yusoff dan seorang lelaki warga tempatan berumur 74 tahun, Shahrom Tahir meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.
“Pemandu dan penumpang hadapan Peugeot iaitu seorang lelaki berumur 41 tahun dan seorang wanita warga tempatan berumur 27 tahun cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Mersing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Razak, seorang penumpang Perodua Alza iaitu wanita warga tempatan berumur 46 tahun patah tangan kiri dan dirawat di Hospital Mersing.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.