comscore
Tumpuan :
Nasional

Suami isteri OKU cedera dirempuh treler

Anggota polis membantu suami isteri OKU yang cedera akibat rempuhan treler di sekatan jalan raya di Shah Alam. – Foto Ihsan polis

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri yang juga orang kurang upaya (OKU) cedera selepas dirempuh treler ketika sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Jubli Perak berhampiran susur keluar Tanah Perkuburan Seksyen 21, di sini malam semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 malam ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Jelutong sedang memeriksa motosikal dinaiki suami isteri masing-masing berusia lingkungan 40-an itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, akibat rempuhan itu, pasangan terbabit cedera pada kaki, pinggang serta leher.

“Kedua-dua mangsa kini menjalani rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya melalui kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, ketika kejadian treler terbabit dipandu lelaki berusia 31 tahun dari Pelabuhan Klang menuju Batu 3 di Shah Alam.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, namun menurut suspek (treler) ada masalah brek…. bagaimanapun kita akan hantar (treler) untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Tangkapan suspek dibuat dan reman akan dipohon jam 10 pagi esok di Mahkamah Shah Alam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini