comscore
Tumpuan :
Nasional

Suami isteri nyaris maut pokok tumbang hempap motosikal

FOTO: PDRM

KANGAR: Sepasang suami isteri cedera apabila motosikal dinaiki mereka dihempap pokok tumbang semasa ribut di Simpang Empat, dekat sini, awal pagi tadi.

Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, dan isteri, Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, masing-masing patah paha dan luka pada badan akibat kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Baeyah Abdul Wahab, berkata kejadian ketika lelaki itu yang berasal dari Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat dan isterinya dari Jalan Santan Batu 3, di sini, sedang melalui sebatang jalan di Kampung Padang Benta.

“Semasa kejadian, hujan dan angin kencang melanda beberapa kawasan sekitar Perlis. Ketika mereka melalui Kampung Padang Benta, sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menimpa pasangan berkenaan.

“Mereka yang cedera dikejarkan ke HTF untuk rawatan lanjut, manakala kerja pengalihan pokok tumbang dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, hari ini.

Seorang mangsa lain yang hanya mahu dikenali sebagai Johar, 45 dari Simpang Empat, berkata dia sedang berjaga berseorangan kerana menonton perlawanan bola sepak di televisyen, manakala isteri dan anak tidur ketika angin kencang melanda kawasan itu.

“Sekitar jam 2.45 pagi, hujan disusuli angin kencang melanda. Pada mulanya saya ingatkan ia hanya kejadian biasa, tapi tiba-tiba angin semakin kencang, menyebabkan bumbung rumah tercabut diterbangkan angin, ruang tamu rumah basah akibat hujan,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur apabila anak dan isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Tinjauan di sekitar daerah ini, Arau dan Padang Besar mendapati anggota pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis serta JBPM membersihkan kawasan serta mengalihkan pokok tumbang dan menghalang laluan.

Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata sehingga jam 10 pagi, terdapat 31 kes pokok tumbang dan bumbung kediaman diterbangkan angin kencang direkodkan pihaknya.

“Daripada jumlah itu, hanya dua sahaja kejadian membabitkan pokok menimpa rumah, selebihnya kes pokok tumbang menghalang laluan kenderaan. Kita sudah menggerakkan anggota setiap daerah untuk mengalih pokok tumbang daripada laluan kenderaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini