Tumpuan :
Nasional

Suami isteri maut kemalangan di Kota Belud

Keadaan kereta mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Bukit Kelawat, Jalan Kota Belud malam ini.

KOTA BELUD: Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Bukit Kelawat, Jalan Kota Belud, di sini, malam ini.

Mangsa Khaysar Abdul, 28, dan isteri Siti Emma Ernani Asmada, 28, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 7.42 malam.

Mayat suami isteri mangsa kemalangan di Bukit Kelawat, Jalan Kota Belud malam tadi.

Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Suffian Aban digerakkan ke tempat kejadian sejauh 16 kilometer dari balai.

“Kemalangan membabitkan keteta jenis Proton Wira dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Revo. Terdapat dua mangsa tersepit dalam Proton Wira.”

Katanya, kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pemandu dan penumpang Toyota Revo dilaporkan selamat.

Punca sebenar kemalangan masih disiasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini