PASIR GUDANG: Pasangan suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat di sini, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada jam 4 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.
“Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan dalam keadaan lampu isyarat merah menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.
“Pada masa sama motosikal pasangan terbabit meneruskan perjalanan menghala ke bandar raya ini sebelum berlaku pelanggaran,” katanya satu dalam kenyataan.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan, 37 dan pembonceng wanita, 36 cedera parah dan maut di tempat kejadian.
Menurutnya lagi, pemandu kereta berkenaan, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.
“Ujian air kencing juga dilakukan dan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah,” ujarnya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.
Beliau juga memohon orang awam yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil menyalurkan maklumat menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.