comscore
Tumpuan :
Nasional

Suami isteri ditahan disyaki curi kelapa sawit

JASIN: Sepasang suami isteri ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes mencuri kelapa sawit di ladang milik sebuah syarikat perladangan di Merlimau di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata pasangan berusia 26 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.15 malam pada Isnin lalu di pekarangan Balai Polis Merlimau.

“Kejadian terbongkar selepas kereta jenis Proton Iriz dinaiki mereka dan mengangkut kelapa sawit yang dicuri itu terbabas dan terbakar.

“Siasatan awal mendapati, pasangan itu disyaki terbabit dengan kes kehilangan 30 tandan kelapa sawit yang dilaporkan seorang polis bantuan syarikat perladangan pada 3 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Jamil berkata, kejadian itu disedari pengadu selepas melihat kesan mencurigakan pada 21 pokok kelapa sawit.

Beliau berkata, jumlah kerugian dianggarkan RM500 dan polis juga merampas sebilah sabit serta hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.

“Suspek lelaki ditahan reman empat hari hingga 11 Oktober, manakala suspek wanita ditahan tiga hari hingga esok. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini