JASIN: Tiga individu termasuk pasangan suami isteri maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh tembok jambatan di Jalan Kampung Seri Lanchang, Merlimau, di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.09 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 11 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Sejurus tiba jam 9.16 pagi di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati sebuah kereta Proton Iswara terbabas melanggar tembok jambatan dan terbakar 90 peratus.
View this post on Instagram
“Terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini.
Sementara itu, Polis mengesahkan tiga mangsa yang maut melibatkan seorang pemandu teksi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa yang maut adalah pemandu S Subbramaniam, 71, dan penumpang, Husali Umar, 84, dan isterinya, Mastura Said, 60.
“Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila teksi yang dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Merlimau dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok jambatan.
“Akibat perlanggaran itu kereta mengalami kebakaran dan menyebabkan semua mangsa terbakar seluruh badan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya difahamkan pasangan warga emas itu dalam perjalanan dari Semujuk untuk menziarahi anak mereka di Merlimau dan duduk di tempat duduk belakang.
Ahmad Jamil berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas tenaga gas asli (NGV) yang dipasang pada kenderaan akibat daripada kemalangan.
“Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.