comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Suami cuba selamatkan isteri dalam kebakaran

 

KUALA PENYU: Cubaan seorang suami menyelamatkan isterinya yang terperangkap dalam kebakaran di Kampung Gerowot, di sini, pagi ini, gagal apabila isterinya ditemukan rentung.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, Jumin Ansiu, 52, melecur lengan kiri dan kanan serta bahu, belakang badannya dan dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Isterinya, Ninik Yanuwati, 48, ditemukan rentung di ruang tamu tingkat dua manakala anak perempuan mereka berusia 13 tahun dan lelaki sembilan tahun serta ibu Jumin, Sinap Suram, 78, selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.

Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 80 peratus. Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Iswara.

“Sebaik api berjaya dipadamkan, terdapat seorang mangsa wanita ditemui rentung di ruang tamu tingkat dua dan seorang lagi mangsa lelaki iaitu suami mangsa melecur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Operasi pemadaman ditamatkan jam 10.10 pagi.

Keadaan rumah mangsa yang terbakar di Kampung Gerowit, Kuala Penyu. -FOTO: Ihsan JBPM
Loading...
Terkini