Tumpuan :
Nasional

Suami berhabis duit ketagih layan GRO, isteri lapor JIM

Antara wanita warga asing disyaki GRO yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan. FOTO Ihsan JIM Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Seorang isteri nekad membuat aduan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana tidak tahan dengan tindakan suami mengabaikan perbelanjaan keluarga akibat ketagih layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) wanita warga Vietnam.

Mendedahkan perkara itu, JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, wanita tempatan berusia 30-an memaklumkan suaminya mula terjebak berhibur di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling, di sini sejak setahun lalu.

Katanya, suami wanita itu mula culas memberi wang perbelanjaan selepas menghabiskan wang gaji di kelab itu.

Malah, katanya, lelaki berkenaan seolah-olah ketagih apabila sanggup ke kelab itu beberapa kali dalam seminggu.

“Susulan aduan itu, JIM KL melakukan serbuan ke atas premis berkenaan menerusi Ops Gegar yang bermula 12.40 tengah malam tadi.

“Dalam serbuan itu, seramai 34 individu ditahan termasuk 27 wanita warga asing dan tempatan disyaki GRO berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

“Tiga daripada tangkapan adalah warga tempatan, Thailand (16), Laos (enam), Myanmar (lima) dan Vietnam (empat).

“GRO ini menerima tips daripada pelanggan untuk teman minum dan berhibur, manakala warga tempatan dipercayai sebagai pengurus, bouncer serta penjaga wanita asing terbabit,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhannya, seramai 90 individu diperiksa dalam operasi itu.

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Tangkapan warga tempatan juga disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini