Tumpuan :
Nasional

Strategi pulihkan NAFAS, sasaran Sukan SEA 2025 antara dibangkitkan di Dewan Rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Strategi pemulihan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan persiapan Malaysia menghadapi Sukan SEA 2025 menjadi antara isu yang dibangkitkan dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee, meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperincikan langkah-langkah menyeluruh bagi memulihkan reputasi serta pengurusan NAFAS.

Selain itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menggesa Menteri Belia dan Sukan menyatakan sasaran Malaysia dalam Sukan SEA 2025, terutama selepas Thailand sebagai tuan rumah melakukan rombakan besar dengan menambah 15 acara dan menggugurkan 10 acara lain. Beliau mahu jaminan bahawa atlet negara bersedia menghadapi cabaran ini.

Selain itu, beberapa isu lain turut mendapat perhatian, termasuk kenaikan kos sara hidup, perlindungan pekerja melalui Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), serta pelaksanaan projek infrastruktur di Sabah.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, meminta Menteri Ekonomi menjelaskan saranan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam menangani tekanan kos sara hidup berdasarkan laporan Indikator Kos Sara Hidup terkini.

Dalam sektor tenaga kerja, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siongmahu penjelasan Menteri Sumber Manusia mengenai mekanisme pelaksanaan SKBBK, yang bertujuan melindungi pekerja dalam situasi kemalangan di luar waktu kerja, terutama dengan peningkatan sistem kerja fleksibel di Malaysia.

Persidangan Dewan Rakyat bakal berlangsung selama 18 hari, turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai hari ini.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.

Sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini