comscore
Tumpuan :
Nasional

STPM: “4.00 ini untuk keluarga saya”

Foto: NSTP

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Bertekad untuk mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik merupakan pendorong kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2022, Nurul Izah Saberi, 20 tahun yang memperoleh PNGK 4.00

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Iskandar Shah itu berkata, dia sedih kerana tidak sanggup melihat bapanya memerah keringat menanggung keluarga dengan pendapatan yang tidak seberapa yang diperoleh ketika bekerja di kebun sawit.

Nurul Izah merupakan salah seorang daripada 108 calon STPM 2022 di Perak yang memperoleh semua A dalam semua subjek diduduki atau PNGK 4.00.

@buletintv3 STPM: “4.00 ini untuk keluarga saya” #buletintv3 #beritaditiktok #stpm ♬ original sound BuletinTV3

Dia yang berasal daripada keluarga peneroka Felcra Nasaruddin, Bota mahu memperbaiki taraf kehidupan keluarganya dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dengan harapan memperoleh pekerjaan yang baik.

Anak ketiga dari empat beradik berkata dia memilih melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 kerana yuran pengajiannya lebih murah berbanding program pra universiti lain serta jarak rumah ke sekolah yang dekat.

Katanya, setiap pagi dia berulang-alik sejauh 15 kilometer dari rumah ke sekolah bersama dua kawan lagi dengan menumpang seorang rakan

“Sebulan saya belanja RM80 untuk upah dan duit minyak ke sekolah. Saya sebenarnya tak sangka boleh dapat keputusan ‘4 flat’ sebab saya tak pernah dapat A dalam keempat-empat subjek yang saya ambil (Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Perniagaan) dalam peperiksaan sebelum ini.

“Syukur sangat. ayah, Saberi Mansor, dan mak, Saniah Abdul Rani, tak dapat hadir bersama hari ini kerana perlu bekerja, tapi mereka sangat gembira apabila saya semak melalui SMS sebelum datang,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM di SMK Iskandar Shah, di sini hari ini.

Menurutnya, tiada perkara yang luar biasa dilakukan kecuali fokus di dalam kelas dan memperbanyakkan latihan berdasarkan soalan tahun sebelum ini.

Berkongsi impiannya, Nurul Izah berkata dia mahu melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sastera di Universiti Sains Malaysia (USM) dan bercita-cita menjadi seorang guru geografi atau sejarah.

Pada majlis itu, pengetua sekolah, Sabarudin Othman, 54, turut memberikan Insentif khas bernilai RM1,000 kepada dua pelajar yang memperoleh keputusan PNGK 4.00, dan RM100 kepada setiap pelajar yang memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas.

Nurul Izah berkata, dia akan menggunakan sedikit wang berkenaan untuk membelanja keluarganya makan sebagai tanda syukur dan selebihnya akan digunakan sebagai persiapan menyambung pengajian ke universiti.

Loading...
Terkini