Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tindakan segera perlu diambil berlandaskan undang-undang berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Demikian ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan tegas diambil supaya tidak ada penghinaan terhadap agama khususnya Islam, selain negara dapat maju dalam lapangan yang ingin diterokai.
“Pandangan saya jelas, ada laporan, ada keterlanjuran, mesti ada tindakan segera, kemudian keputusan ikut jalur hukum dan maju terus.
“Kenapa kita perlu terperangkap dalam isu yang berpanjangan, ada laporan, ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama, apatah lagi Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu berkenaan.
Ditanya mengenai tindakan segelintir pemimpin dalam kerajaan MADANI yang bertikam lidah berhubung isu berkenaan, Pengerusi Pakatan Harapan itu memaklumkan, semua boleh memberi pandangan, namun tidak boleh terlanjur atau mengikut pemikiran yang sempit.
“Dalam kerangka politik yang bebas dan demokratik, tak boleh diikuti sistem walak kerana dalam parti yang walak, yang mengekang pemikiran bebas, dia tidak mengizinkan.
“Kita membolehkan (memberi pandangan dan teguran) cuma nasihat saya jangan terlanjur atau mengikut pemikiran sempit masing-masing. Masalah ada, tindakan diambil dan maju terus, apa bentuk hukuman pun, jangan hukuman yang melampau.
“Ada orang lakukan kesalahan seperti kita juga lakukan kesalahan, kadang-kadang kecuaian, jadi jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Kilang edar stoking ada kalimah Allah tutup operasi hari ini
- ‘Kami mohon maaf, tidak pernah sengaja memesan stokin sedemikian’ – pembekal
- [VIDEO] Kilang edar stoking ada kalimah Allah diperiksa polis
- Lelaki muat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah dipanggil polis
- [VIDEO] Isu stoking kalimah Allah: Polis akan panggil pengurusan KK Mart, 42 laporan diterima
- 10 NGO gagal hantar memorandum kepada pengurusan kilang pengedar stoking tertera nama Allah