Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (KDN) untuk menjalankan siasatan berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang tular di media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau difahamkan agensi penguat kuasa itu sudah menerima sejumlah aduan berhubung isu berkenaan.
“Sudah ada sejumlah laporan polis diterima, jadi hal itu polis akan tangani. Sudah ada aduan, biar polis uruskan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini, hari ini.
Pada 13 Mac lalu, tular gambar stokin tertera kalimah Allah yang dijual di KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.
Susulan itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart), Datuk Seri Dr KK Chai dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka tersebut.
Syarikat terbabit dilaporkan berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.
Hari ini, polis mengesahkan berjaya menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah dalam sebuah kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dipetik berkata, lima pasang stoking itu ditemui hasil pemeriksaan ke atas 16 bungkusan stoking yang diimport dari China.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kes penyampai berita dan pengacara televisyen yang menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, Datuk Seri Saifuddin berkata, kes itu akan ditangani secara adil bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku.
“Saya punya prinsip mudah iaitu dengar kedua-dua versi supaya kita berlaku adil dan kita dapat dari dua dua versi. Ia termasuk versi pengadu dan versi anggota polis yang bertugas barulah kita boleh tahu kedudukan sebenar.
“Oleh kerana hal ini sekarang sedang diuruskan, kita tunggu keputusan. Polis tidak selamanya betul dan pengadu juga ada buat silap. Jadi dalam kes ini, jelas di mana pengadu ada versi dia,” katanya.
Polis sebelum ini menafikan dakwaan pengadu yang menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, sombong dan tidak profesional ketika menjalankan tugas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata, dakwaan lelaki berusia 30-an itu diterbitkan dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Yang di-Pertuan Agong murka isu kalimah Allah timbul lagi
- ‘Kami mohon maaf, tidak pernah sengaja memesan stokin sedemikian’ – pembekal
- [VIDEO] Kilang edar stoking ada kalimah Allah diperiksa polis
- Pemangku Sultan Johor titahkan pihak berkuasa ambil tindakan tegas isu kalimah Allah
- IKIM gesa tindakan mengenai isu stoking tertera kalimah Allah
- KDN akan teruskan siasatan stoking kalimah Allah
- Kesal penjualan stoking tertera kalimah Allah
- Lelaki muat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah dipanggil polis
- [VIDEO] Isu stoking kalimah Allah: Polis akan panggil pengurusan KK Mart, 42 laporan diterima