Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Sindiket penyeludupan mercun dan bunga api menyimpan stok dipercayai untuk sambutan Krismas dan tahun baharu akan datang tumpas selepas sebuah rumah di sini, diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat (W4), Sabah, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin W4 Sabah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan Op Kontraban hasil risikan Unit Risik Marin (URM), merampas sejumlah mercun dan bunga api bernilai RM1 juta.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh rumah tersebut telah menjumpai sebanyak 273 kota mercun dan bunga api di rumah tersebut nilai rampasan ini dianggarkan bernilai lebih kurang RM1 juta ringgit,” Katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Tambahnya mercun dan bunga api terbabit dipercayai untuk pasaran seluruh Sabah termasuk Pantai Timur negeri itu.
Katanya, ketika serbuan tiada sebarang tangkapan dibuat dan didapati tiada maklum balas penghuni dikesan berada di dalam rumah berkenaan.
“Semasa serbuan kita dapati rumah ini berkunci kita telah cuba mengetuk tetapi tidak ada maklum balas daripada penghuni jadi kami membuat intipan sekeliling rumah dan didapati banyak longgokkan kotak-kotak dalam rumah.
“Kita percaya rumah ini mungkin menyimpan barang-barang terlarang satu serbuan telah dibuat didapati 273 kotak pelbagai jenis mercun dijumpai,” katanya
Menurut Nazri lagi hasil rampasan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyimpan dan menjual barang-barang tanpa lesen dan permit mengimport.
Susulan kejadian itu beliau menyeru orang awam sekiranya terdapat kegiatan yang menyalahi undang-undang di kawasan setempat atau sekitar perumahan yang mereka duduki agar memaklumkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan.
“Di sini kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana terhadap kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.