comscore
Tumpuan :
Nasional

Stok bekalan, simpanan beras negara mencukupi lebih 5 bulan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan stok bekalan dan penyimpanan beras negara masih mencukupi sehingga lebih lima bulan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata KPKM giat melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk rancangan jangka pendek dan panjang untuk memastikan makanan khususnya komoditi terpilih seperti beras mencukupi.

Katanya, langkah itu termasuk meneruskan kerjasama dengan negara pengeluar lain termasuk ketika berlaku kecemasan.

“Sehingga Oktober 2024, jumlah keseluruhan stok beras termasuk stok simpanan ialah 1.1 juta tan metrik mencukupi untuk 5.6 bulan.

“Bagi memenuhi keperluan bekalan beras, negara sumber dikenal pasti ialah Thailand, Vietnam, Pakistan dan Myanmar.

“Selain itu, KPKM melaksana pelbagai inisiatif bagi memastikan ketersediaan dan kecukupan makanan khususnya komoditi terpilih.

“Antaranya kita cuba pergi kepada ‘Smart Farming’ (pertanian pintar) dalam padi, tetapi ia perkembangannya perlahan kerana kerana penanam padi masih secara tradisi hendak mengusahakan hak milik (tanah) mereka dan lambat untuk mencantumkan dan membuat skala besar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mengenai rancangan segera kementerian dalam memastikan bekalan sumber makanan negara terjamin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, KPKM juga melaksanakan rancangan segera untuk meningkatkan makanan yang berada pada Kadar Sara Diri (SSR) rendah.

“SSR lebih rendah antara rancangan segera dilaksanakan dengan mempelbagai sumber import bagi kurangkan kebergantungan kepada negara tertentu saja.

“Sebagai contoh, negara sumber bagi bekalan daging diperluaskan kepada sembilan negara iaitu India, Australia, Brazil, New Zealand, Pakistan, Jepun, Korea, Argentina dan Afrika Selatan,” katanya.

Katanya, insentif baharu juga perlu diperkenalkan bagi meningkatkan SSR ruminan.

“Memperkasakan industri lembu pedaging ruminan ini mengambil masa kerana masalah ini berpanjangan begitu lama.

“Keluaran ruminan kita masih di bawah 20 peratus sejak merdeka hingga sekarang oleh itu hendak naikkan segera satu insentif baharu mesti diperkenalkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini