Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan bakal memperluas stesen petrol dan diesel tidak bersubsidi di sempadan Pantai Timur dan selatan negara dalam tempoh enam bulan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia dilihat sebagai langkah penyelesaian praktikal kepada isu ketirisan subsidi bahan api itu, di samping menambah pendapatan negara.
Katanya, pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengadakan libat urus, malah satu kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan untuk memastikan ia mewujudkan perniagaan penting kepada pemain industri.
Beliau berkata, cadangan itu juga hasil keberkesanan dan sambutan memberangsangkan Projek Rintis Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi di dua stesen di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis.
“Pada minggu lalu apabila saya berada di Padang Besar, harga petrol RON95 tanpa subsidi pada pagi itu adalah kira-kira RM3.35 tetapi harga bahan api itu di Thailand adalah RM5.25. Maknanya beza itu masih besar. Jadi ini tidak ada masalah untuk kenderaan dari Thailand, bila masuk ke negara kita, boleh beli petrol tanpa subsidi.
“Maka idea itu akan cuba kita kembangkan dan saya dah beritahu Kabinet dalam nota (Jemaah Menteri), kenapa tidak kita teroka stesen petrol tanpa subsidi ini di sempadan kita di sebelah Pantai Timur di Kelantan dan selatan di Johor. Mungkin lebih banyak stesen boleh dibuat di Johor Bahru kerana harga petrol (tanpa subsidi) kita dengan Singapura masih lagi beza yang sangat jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDN bulan Februari di sini, hari ini.
Salahuddin berkata, dalam kunjungan hormat beliau ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, turut membincangkan cadangan pembinaan stesen petrol tanpa subsidi mengambil kira kedudukan geografi negeri itu dengan negara jiran, Indonesia.
“Kita bincang mungkin beberapa bandar atau titik penting di antara sempadan Sarawak dan Indonesia mungkin boleh kita bina stesen petrol tanpa subsidi. Inisiatif ini sangat membantu.
“Di samping saya tak boleh nafikan pasukan penguatkuasaan kita walaupun kekuatannya masih lemah, kita tidak dapat meningkat atau menambah pegawai baharu, tapi kita akan cuba untuk mendapatkan bantuan dalam bentuk lain, selain kita akan bekerja dengan lebih pintar dengan kapasiti ada termasuk kolaborasi dengan kementerian lain,” katanya.
Sebelum ini, Salahuddin dilaporkan berkata, walaupun harga petrol RON95 dan diesel diapungkan, harganya masih rendah berbanding negara jiran dan pada masa sama pengusaha stesen minyak tempatan masih mendapat keuntungan.
Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan pembekal minyak yang berminat untuk membuka stesen berkenaan dan akan membantu dari segi mendapatkan lesen.