comscore
Tumpuan :
Nasional

Stesen minyak jual RON95 kepada kenderaan Thailand diambil tindakan

Tindakan penyitaan dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap stesen minyak yang disyaki menjual minyak petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan berdaftar di Thailand, Sabtu lepas.

Pengarahnya, Jegan Subramaniam berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung gambar yang tular mengaitkan sebuah kenderaan dengan plat nombor negara sempadan.

Katanya, kenderaan itu dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak berhampiran kawasan hentian rehat (R&R) Sungai Bakap.

“Berdasakan aduan yang turut tular, kenderaan itu mempunyai plat nombor pendaftaran Thailand dikatakan mengisi minyak petrol menggunakan nozel berwarna kuning disyaki minyak Petrol RON95 yang merupakan minyak bersubsidi.

“Hasil pemeriksaan terhadap rakaman CCTV, didapati premis disyaki melakukan kesalahan kerana membenarkan sebuah kenderaan asing mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 yang berlaku pada jam 2.24 petang.

Pemeriksaan terhadap rakaman CCTV di stesen terbabit.

“Tindakan penyitaan dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujarnya, KPDN memandang serius isu ini dan siasatan akan dijalankan dengan serta merta.

“KPDN akan menjalankan pemantauan yang lebih agresif di semua stesen minyak.

“Terutamanya yang berdekatan dengan negeri sempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” tambahnya lagi.

Tegas beliau, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Ia memperuntukkan penalti bagi individu iaitu didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala, perbadanan dan syarikat didenda tidak melebihi RM2 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini