Tumpuan :
Nasional

Stesen KLCC ditutup sementara kerana kepulan asap bilik elektronik

Panel kotak suis pam di Stesen LRT KLCC terbakar dalam kejadian petang ini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan

KUALA LUMPUR: Stesen KLCC ditutup buat sementara waktu petang ini, berikutan laporan terdapat kepulan asap dikesan dalam bilik peralatan elektronik di situ.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan, susulan kejadian itu, penumpang pengangkutan awam itu hanya dibenarkan untuk keluar daripada stesen terbabit.

“Penumpang disaran ke Stesen Persiaran KLCC dan Stesen Ampang Park untuk meneruskan perjalanan.

“Perkhidmatan bas perantara percuma turut disediakan di antara Stesen Ampang Park, Stesen KLCC dan Stesen Dang Wangi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bomba juga sedang berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Pengguna disarankan untuk bertenang dan patuhi segala arahan petugas operasi stesen. Sila rujuk pada media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE untuk maklumat terkini,” katanya.

Dalam satu catatan terbaru di Facebook, Rapid KL turut memaklumkan penumpang juga boleh menunggu bas perantara percuma di perkarangan Avenue K untuk ke Ampang Park.

“(Selain itu) Bas berhenti (juga tersedia) di Decathlon KL City Centre untuk ke Dang Wangi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini