Tumpuan :
Nasional

Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar beroperasi seperti biasa – TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar (SJTJ) beroperasi seperti biasa selepas kebakaran yang berlaku di stesen itu, semalam, hanya membabitkan suar atau ‘flare’ di bolong keluar saluran paip gas (vent out gas pipeline).

Katanya, TNB turut mendapat pengesahan daripada pihak bomba untuk kelulusan meneruskan operasi.

Menurut TNB dalam satu kenyataan, hari ini, insiden kebakaran berkenaan juga tidak menggugat keupayaan syarikat itu untuk membekalkan elektrik kepada pelanggan.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Muhamad Nazri Pazil, berkata berdasarkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV), durasi suar (flare) adalah selama 14 saat bermula jam 8.28 malam.

Beliau berkata, kebakaran itu dapat dihentikan dengan segera hasil tindakan pantas pihak stesen janakuasa yang membuat penutupan selamat (safe shutdown) terhadap punca gas.

Katanya, SJTJ mempunyai kapasiti penjanaan 1,411 megawatt (MW) tetapi hanya 350MW dihentitugaskan, manakala selebihnya beroperasi seperti biasa.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar yang mencetuskan kebakaran itu.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan utama pada aset dan mesin penjanaan di SJTJ. Pihak kami masih menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, TNB Genco yang juga anak syarikat milik penuh TNB yang bertanggungjawab terhadap pengurusan aset penjanaan elektrik milik TNB, sedang mengambil inisiatif tertentu untuk mengenal pasti punca kebakaran itu dan akan mengambil langkah perlu untuk mengelak kejadian berulang.

Semalam, media melaporkan SJTJ di Port Dickson meletup dan terbakar sehingga mengejutkan penduduk sekitar.

Komander Operasi Kanan, Mohd Kamal Mohd Timar, dipetik berkata menurut maklumat awal daripada pemanggil yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson pada jam 9.09 malam, berlaku letupan di SJTJ.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini